3 Kos Jual Rumah Yang Anda Perlu Tahu

by Zulhisham
291 views

Pasca Covid19 amat menekan bagi sebahagian orang. Harga barang keperluan naik. Kadar OPR juga naik beberapa kali tahun ini dan sekaligus menyebabkan kenaikkan bayaran (installment) bulanan bank. Atas faktor ini dan sebab-sebab lain ramai orang membuat keputusan untuk menjual rumah mereka.

Oleh itu bagi pastikan objektif jual rumah tercapai, saya nasihat kepada setiap penjual perlu tahu terlebih dahulu apa kos-kos yang terlibat.

Selain itu, penjual rumah perlu semak hartanah pasaran semasa bagi memudahkan penjual membuat keputusan harga jualan nanti. Ini sedikit sebanyak dapat memberi gambaran berapakah keuntungan atau wang tunai yang diterima hasil penjualan rumah.

3 Kos Jual Rumah

Hartanah adalah aset yang unit. Kerana untuk membeli hartanah atau rumah, ada beberapa kos yang dikenakan seperti Cukai Pindahmilik (MOT), kos peguam hartanah, kos pendaftaran di pejabat tanah dan macam-macam lagi. 

Selepas beli pun ada kos lagi seperti cukai pintu, cukai tanah, kos penyelenggaran.

Dan nak jual rumah pun ada kos-kos yang terlibat.

#1. Kos Ejen Hartanah Berdaftar

Ejen hartanah berdaftar ada satu bidang kerjaya yang membantu pemilik rumah menjual atau menyewakan hartanah. Setiap ejen hartanah perlu berdaftar dengan Lembaga Penilai, Petaksir, Ejen Hartanah dan Pengurus Harta (LPPEH).

Jual rumah ni banyak proses yang terlibat dan melibatkan pelbagai pihak seperti peguam hartanah, bank, pejabat tanah, pihak berkuasa tempatan dan macam-macam lagi. 

Dan proses jual beli ni memakan masa sekurang-kurangkan 3-5 bulan. Paling lama yang perlu saya uruskan ialah 2 tahun. Selepas 2 tahun baru selesai.

Jual rumah bukan perkara yang mudah. Oleh itu servis ejen hartanah amat diperlukan bagi menguruskan penjualan rumah. Skop tugas ejen hartanah seperti membuat analisa harga pasaran semasa, iklan, bawa bakal pembeli tengok rumah, proses loan dan menguruskan perlantikan peguam hartanah.

Kos ejen hartanah ialah 3.18% daripada harga jualan rumah.

Kos ni tak perlu bayar guna duit poket sendiri, tapi akan tolak dari duit deposit pembeli.

#2. Kos Peguam Hartanah

Selain ejen hartanah, penjual juga memerlukan peguam hartanah bagi urusan surat perjanjian jual beli rumah.

Cuma sebagai penjual tidak wajib melantik peguam hartanah sendiri. Ini boleh menjimatkan kos tapi masih perlu bayaran untuk disbursement dalam RM1,500 hingga RM2,000.

Tapi sekiranya penjual memerlukan peguam yang boleh menjaga kepentingan dalam transaksi penjualan rumah, pihak pihak penjual perlu melantik peguam sendiri. Kos peguam anggaran 1.5% daripada harga jual rumah.

Sila dapatkan quotation daripada peguam hartanah.

#3. Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT)

Di Malaysia, apabila hartanah atau rumah dilupuskan atau dijual, akan dikenakan Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT).

Tapi cukai ini dikenakan bagi hartanah kurang 5 tahun sahaja. Rumah yang telah dibeli lebih daripada 5 tahun tidak dikenakan cukai.

Sekiranya anda dikenakan cukai bagi hartanah yang dijual kurang daripada 5 tahun, anda boleh mohon pengecualian seumur hidup. Setiap orang diberi sekali seumur hidup pengecualian cukai CKHT.

Kesimpulan

Jual rumah bukan perkara mudah. Banyak proses dan prosedurnya. Banyak pihak yang terlibat. Sebelum anda membuat keputusan untuk menjual rumah, pastikan anda sudah dapatkan anggaran kos terlibat dalam penjualan rumah. 

Boleh hubungi ejen hartanah di kawasan anda bagi dapatkan penerangan yang lebih lanjut.

You may also like

Leave a Comment